Thursday, January 10, 2013

contoh esei sejarah dan penggunaan nota hujung




2.2   Pendidikan Di Madrasah atau Pondok

Pada masa kini, sistem pendidikan madrasah ataupun pondok kurang memainkan peranan dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat terutamanya para pelajar. Ini disebabkan kerajaan telah menubuhkan sekolah-sekolah agama untuk memberikan pendidikan agama kepada para pelajar yang terdiri daripada masyarakat Melayu Islam.

Pendidikan agama yang dijalankan di madrasah semakin merosot dari sehari ke sehari. Ini disebabkan oleh masalah kekurangan tenaga kerja iaitu guru-guru agama dan kemerosotan bilangan pelajar yang mendaftar di sekolah-sekolah agama. Selain itu, institusi-institusi ini juga mengalami masalah kewangan yang amat genting tetapi Jabatan Agama Negeri telah memberikan bantuan untuk mengelakkan penutupan madrasah-madrasah tersebut.

Faktor-faktor ini merupakan faktor penentu dalam perubahan nilai-nilai masyarakat yang membawa kepada kemerosotan sekolah-sekolah madrasah dalam tahun 1960an. Pada masa ini juga menyaksikan keruntuhan pendidikan pondok di Malaysia. Sebilangan kecil pendidikan ‘pondok’ yang masih wujud yang belum diubah menjadi ‘madrasah’ tidak dapat bersaing dalam zaman moden ini dan harus ditutup. Hanya tinggal beberapa ‘pondok’ sahaja yang masih wujud di Kelantan.24

Zaman ini juga merupakan zaman bermulanya kemerosotan madrasah. Di antara tahun 1967 dan 1970, jumlah madrasah di Kelantan semakin berkurangan iaitu daripada 151 buah madrasah menjadi 111 buah sahaja. Lima buah sekolah agam telah ditutup pada tahun 1971 di Kedah. Para pelajar sekolah agama di Kelantan mengemukakan bantahan kerana kedua-dua buah negeri itu merupakan negeri yang mempunyai Jabatan Agama Negeri yang besar dan berkuasa.25

Para pelajar mengadu tentang pencapaian yang kurang memuaskan dalam peperiksaan kebangsaan terutamanya dalam sains, matematik dan Bahasa Inggeris akan merugikan mereka apabila mereka mencari pekerjaan atau memohon untuk melanjutkan pelajaran. Para pelajar meminta supaya sekolah-sekolah itu haruslah diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan agar pentadibiran sekolah-sekolah itu dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan terancang.

Walaupun sekolah-sekolah agama mengalami kemerosotan dan masalah tetapi beberapa buah institusi tinggi pendidikan Islam telah ditubuhkan pada zaman ini. Pada 1959, Jabatan Pengajian Islam telah diwujudkan di Fakulti Sastera, Universiti Malaya. Ini merupakan langkah yang penting kerana buat pertama kali, mahasiswa-mahasiswa dalam pengajian Islam boleh mengambil ijazah sarjana yang mempunyai standard yang sama dengan bidang-bidang pengajian yang lain. Jabatan Pengajian Islam amat diperlukan kerana kolej Islam di Klang belum dapat memenuhi permintaan untuk pendidikan tinggi Islam.26

Pada tahun 1966, terdapat 467 buah sekolah agama dengan jumlah pelajar seramai 55,303 pelajar di Semenanjung Malaysia. Kolej Islam hanya mengeluarkan sijil bertaraf ‘diploma’ sahaja dan lebih rendah daripada ijazah. Institusi pendidikan tinggi yang lain seperti Yayasan Pengajian Tinggi Nilam telah ditubuhkan pada tahun 1965 di Nilam Puri, Kelantan.27


Kesimpulan 

           
Boleh dirumuskan di sini bahawa pendidikan itu mencakupi bidang dan maksud yang luas sama ada ia menyentuh tentang Pendidikan Melayu Islam ataupun sebaliknya.  Seperti yang telah diketahui umum sistem pendidikan kita bermula daripada sistem pendidikan tidak formal sehinggalah mengalami arus perubahan kepada pendidikan formal.
           
Pendidikan tidak formal ini bolehlah diaplikasikan sebagai pendidikan yang diperolehi daripada ibu bapa, masyrakat sekelilingnya seperti di tempat kerja, jiran  dan  sebagainya.  Manakala  sistem pendidikan formal adalah sistem pendidikan yang bercorak sistematik dan diatur oleh sesebuah kerajaan atau badan yang bertanggungjawab dalam merealisasikan sistem pendidikan yang sempurna.
           
Sistem pendidikan formal yang bermula dari sekolah rendah lagi berterusan hingga ke menara gading atau lebih sinonim dengan nama `universiti’ yang merupakan peringkat tertinggi dalam sistem pendidikan di sesebuah negara.  Apapun pendidikan yang dijalankan sama ada formal ataupun tidak tetapi tujuannya adalah satu iaitu menyampaikan pengajaran dan pembelajaran daripada peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa.  Boleh dikatakan di sini pendidikan formal yang berakhir di peringkat universiti tidak berakhir di situ sahaja, sebaliknya pendidikan tidak formal yang dapat diperolehi  di  tempat kerja dan menerusi media yang  menjadi kesinambungan kepada kelansungan sistem pendidikan itu sendiri.

Tidak dinafikan di dalam sesebuah negara yang telah merdeka daripada cengkaman penjajahan sistem pendidikan di dalam negara tersebut seperti Malaysia mengalami proses asimilasi dalam sistem pendidikan kita kini.  Bagaimanapun sistem pendidikan vernakular yang diperkenalkan oleh pihak penjajah adalah bertujuan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat Melayu, memberikan pengetahuan moral dan memperbaiki tahap pemikiran masyarakat Melayu.

Sistem pendidikan kini telah mengalami perubahan daripada sistem lisan kepada tulisan dalam mata pelajaran seperti sains, matematik, bahasa dan sebagainya.  Usaha kerajaan ini adalah bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang mahir, berhemah tinggi dan berkaliber dalam memenuhi keperluan dan tenaga buruh mahir pada masa kini dan hadapan.  Masyarakat juga beranggapan bahawa dengan adanya sistem pendidikan yang lebih teratur dapat menyediakan kehidupan lebih berkualiti bagi setiap individu.


nota Hujung


24 Rosnani Hashim, Educational Dualism In Malaysia: Implications for the theory and practice, Oxford University Press, 1996, hlm 62.
25 Ibid, hlm 62.
26 Ibid, hlm 62
27 Ibid, hlm 62 – 63



 B  I  B  L  I  O  G  R  A  F  I

1.    Dr. Sobri Salamon & Dr. Harun Din, Falsafah Pendidikan Islam dan Dasar Kebangsaan dan Dasar Pelajaran Malaysia, 1988.
2.    Abu Bakar Nordin, Reformasi Pendidikan dan Menghadapi Cabaran 2020,  Kuala Lumpur, 1994.
3.    Ibrahim Saad, Perubahan Pendidikan Di Malaysia: satu cabaran, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992.
4.    Ismail Hussein, A. Aziz Deraman & Abd Rahman Al-Ahmad, Tamadun Melayu: Jilid Dua, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.
5.    Khailani Abdul Jalil & Ishak Ali Shah, Pendidikan Islam Era 2020: Tasawur dan Strategi, Selangor, 1993.
6.    Mok Soon Sang & Lee Shok Mee, Pendidikan di Malaysia, Kuala Lumpur, 1981.
7.    Rosnani Hashim, Educational Dualism In Malaysia: Implications for theory and practice, Oxford University Press, New York, 1996.
8.    Shahril @ Charil Marzuki, Isu Pendidikan Di Malaysia: Sorotan dan Cabaran, Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd, 1999.


















No comments:

Post a Comment